Tuesday, December 28, 2010

Latihan Mengajar 2011:-)

kini..bermulalah langkah pertamaku sebagai guru di SMK Seberang Jaya, Pulau Pinang..walau sebagai pelatih..namun ku sahut cabaran ini dengan mengajar dan mendidik yang terbaik pada murid-murid serta memberikan kerjasama yang terbaik pada warga sekolah.

Friday, October 30, 2009




6 perkara Allah sembunyikan

6 perkara Allah sembunyikan



Allah SWT selesai menciptakan Jibrail a.s dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s memandang dirinya sendiri dan berkata:
"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."
Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. "Tidak"
Kemudian Jibrail a.s berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.
Setelah selesai Jibrail a.s solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."
Kemudian Jibrail a.s berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"
Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..." Kemudian Jibrail a.s meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail a.s mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:
"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? "
Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... .."
Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat. * Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat. * Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran. * Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan. * Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu). * Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari. (http://jaipk.perak.gov.my)

Hadiah Malam Jumaat


Hadiah Malam Jumaat


Pengalaman Salih Al Mazi
Pada suatu malam bertepatan malam Jumaat Salih Al Mazi pergi ke masjid jamik untuk mengerjakan solat subuh. Kebiasaannya ia berangkat awal sebelum masuk waktu subuh dan melalui sebuah pekuburan. Di situ Salih duduk sekejap sambil membaca apa-apa yang boleh mendatangkan pahala bagi ahli kubur memandangkan waktu subuh masih lama lagi. Tiba-tiba dia tertidur dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing.
Mereka duduk dalam kumpulan-kumpulan sambil berbual-bual sesama mereka. Al Mazy ternampak seorang pemuda ahli kubur memakai baju kotor serta tidak berkumpul dengan ahli-ahli kubur yang lain. Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah murung, gelisah kerana sedih.
Tidak berapa lama kemudian datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutup dengan saputangan. Seolah-olah seperti cahaya yang gemerlapan.
Malaikat mendatangi para ahli kubur dengan membawa talam-talam itu, tiap seorang mengambil satu talam dan dibawanya masuk ke dalam kuburnya.
Semua ahli kubur mendapat satu talam seorang sehingga tinggallah si pemuda yang kelihatan sedih itu seorang diri tidak mendapat apa-apa.
Dengan perasaan yang sedih dan duka dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya.
Tapi sebelum dia masuk Al Mazy yang bermimpi segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya. "Wahai hamba Allah ! Aku lihat engkau terlalu sedih mengapa?" tanya Salih Al Mazy. "Wahai Salih, adakah engkau lihat talam-talam yang dibawa masuk oleh malaikat sebentar tadi?" tanya pemuda itu. "Ya aku melihatnya. Tapi apa benda di dalam talam-talam itu ?" tanya Al Mazy lagi. Si pemuda menerangkan bahwa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang sudah mati yang terdiri dari pahala sedekah, bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang setiap malam Jumaat atau pada hari Jumaat. Si pemuda kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar.
Katanya dia ada seorang ibu yang masih hidup di alam dunia bahkan telah berkahwin dengan suami baru. Akibatnya dia lupa untuk bersedsekah untuk anaknya yang sudah meninggal dunia sehingga tidak ada lagi orang yang mengingati si pemuda. Maka sedihlah si pemuda setiap malam dan hari jumaat apabila melihat orang-orang lain menerima hadiah sedangkan dia seorang tidak menerimanya.
Al-Mazy sangat kasihan mendengarkan cerita si pemuda. lalu ia bertanya nama dan alamat ibunya ia dapat menyampaikan keadaan anaknya. Si pemuda menerangkan sifat2 ibunya. Kemudian Al Maizy terjaga. Pada sebelah paginya Al Maizy terus pergi mencari alamat ibu pemuda tersebut. Setelah mencari kesana kemari beliaupun berjumpa ibu sip pemuda tersebut lantas menceritakan perihal mimpinya.
Ibunya menangis mendengar keterangan Al maizy mengenai nasib anaknya yang merana di alam barzah. Kemudian ia berkata :"wahai salih ! Memang betul dia adalah anakku. Dialah belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku.
Dia membesar dengan minum susu dari dadaku dan ribaanku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya." Al Maizy turut sedih melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis penuh penyesalan kerna tidak ingat untuk mendoakan anaknya selama ini.
"Kalau begitu saya mohon minta diri dahulu." kata Al maizy lalu bangun meninggalkan wanita tersebut. Tatkala dia cuba untuk melangkah si ibu menahannya agar jangan pulang dahulu. Dia masuk kedalam biliknya lalu keluar dengan membawa wang sebanyak seribu dirham. "Wahai Salih, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku, cahaya mataku. Insya Allah aku tidak akan melupakannya untuk berdoa dan bersedekah untukya selama aku masih hidup."
Salih Al Maizy mengambil wang itu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak sesenpun dari seribu dirham itu yang tinggal. Dilakukannya semua itu sebagai memenuhi amanah yang diberi kepadanya oleh ibu pemuda tersebut.
Pada suatu malam Jumaat di belakang selepas itu, Al Maizy berangkat ke masjid jamik untuk solat jamaah. Dalam perjalanan sebagaimana biasa ia singgah di perkuburan. Di situlah ia terlena sekejap dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing2. Si pemuda yang dulnya kelihatan sedih seorang diri kini keluar bersama-sama dengan memakai pakaian putih yang cantik serta mukanya kelihatan sangat gumbira. Pemuda tersebut mendekati Salih Al Maizy seraya berkata :
"Wahai tuan Salih, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu.
" "Hadiah dari ibuku telah ku terima pada hari jumaat." katanya lagi. "Eh, Engkau boleh mengetahui hari Jumaat ?" tanya Al Maizy.
"Ya, Tahu." "Apa tandanya ?" "Jika burung-burung di udara berkicau dan berkata "Selamat selamat pada hari yang baik ini, yakni hari Jumaat."
Salih Al Maizy terjaga dari tidurnya. Ia cuba mengingati mimpinya dan merasa gumbira kerana sipemuda telah mendapat rahmat dari Allah disebabkan sedekah dan doa dari ibunya (http://jaipk.perak.gov.my).

Rahsia tarikh lahir & warna

Rahsia Warna & Tarikh Lahir
Sebenarnya banyak rahsia boleh diungkapkan hanya dengan mengetahui tarikh lahir seseorang itu. Okay..kali ini selidik pula personaliti seseorang itu berdasarkan warna yang mewakili tarikh lahir. Malah sikap diri sendiri pun boleh kamu kenali dengan mudahkan? Jadi, sekiranya tarikh lahir kamu jatuh pada 24hb Februari, bermakna kamu mewakili warna kuning. Setelah kenal pasti warna kamu, bolehlah kamu melihat keperibadian diri kamu menerusi warna tersebut.
23 hingga 1hb Disember - Merah2 hingga 11hb Januari - Oren12 hingga 24hb Januari - Kuning25hb Januari hingga 3hb Februari - Merah jambu4 hingga 8hb Februari - Biru9 hingga 18hb Februari - Hijau19 hingga 28hb Februari - Perang1hb Februari hingga 10hb Mac - Aqua (Biru kehijauan)11 hingga 20hb Mac - Lime21hb Mac - Hitam22 hingga 31hb Mac - Ungu1 hingga 10hb April - Biru11 hingga 20hb April - Perak21 hingga 30hb April - Putih2 hingga 14hb Mei - Biru15 hingga24hb Mei - Emas25 hingga 3hb Jun - Krim4 hingga13hb Jun - Kelabu14 hingga 23hb Jun - Maroon24hb Jun - Kelabu25 hingga 4hb Julai - Merah5 hingga 14hb Julai - Oren15 hingga 25hb Julai - Kuning26hb Julai hingga 4hb Ogos - Merah jambu5 hingga 13hb Ogos - Biru14 hingga 23hb Ogos - Hijau24hb Ogos 2hb September - Perang3 hingga 12hb September - Aqua (Biru kehijauan)13 hingga 22hb September - Lime23hb September - Olive24hb September hingga 3hb Oktober - Ungu4 hingga 13 Oktober - Biru14 hingga 23hb Oktober - Perak24hb Oktober hingga 11hb November - Putih12 hingga 21hb November - Emas22hb November hingga 1hb Disember - Krim2 hingga 11hb Disember - Kelabu12 hingga 21hb Disember - Maroon22hb Disember - Teal Merah

MERAH
Selalunya mereka yang mewakili warna merah yang garang ini seorang yang comel dan disayangi ramai. Kamu juga suka disayangi dan menyayangi. Kamu juga sentiasa ceria dan gembira namun kadangkala dilanda ‘angin satu badan’! Teman/kekasih yang diingini ialah mereka yang mudah diajak berbincang dan boleh membuatkan dirinya rasa selesa bila berdampingan dengan mereka.
Krim
Ha! Kamu ini seorang yang suka bersaing dalam apa juga bidang yang kamu ceburi dan ingin berjaya. Tapi persaingan secara sihatlah. Kamu juga bersikap suka mendorong orang lain untuk mencapai apa yang diidamkan. Namun kamu cukup takut akan ‘kehilangan’ sama ada teman ataupun kekasih! Selain itu, sudah tentunya kamu seorang yang ceria selalu! Sebagai seorang kawan, kamu boleh dipercayai 100% dan setia pada janji.Dari segi percintaan, kamu amat berhati hati dalam menjalinkan hubungan cinta dan tak mudah jatuh cinta hingga kamu rasakan menemui seseorang yang benar-benar kamu cintai! Ketika itu, kamu tak perlukan masa yang lama untuk melafazkan sayang!
TEAL (Warna Kayu)
Bukan main lagi kamu ni yek! Tak kira lelaki ataupun perempuan,terlalu menitikberatkan soal kecantikan dan penampilan fizikal diri kamu. Kamu sering melakukan kesilapan dalam membuat keputusan lantaran sikap kamu yang suka sangat ambil mudah terhadap sesuatu masalah. Manakala dalam memilih pasangan, kamu bercitarasa cukup tinggi. Kamu tak akan pilih yang sebarangan saja! Kamu juga suka memerintah dan gemar orang lain menurut perintah kamu. Walau bagaimanapun, sikap kamu yang peramah membuatkan diri kamu punya ramai teman.

Merah Jambu
Kamu akan berusaha sedaya mungkin untuk membuat yang terbaik dalam apa juga yang kamu lakukan serta suka menolong orang lain dan mengambil tahu tentang orang orang di sekelilingnya. Namun kamu sukar untuk dipenuhi keinginannya dan sering saja berpra sangka buruk terhadap orang lain.Dari segi percintaan kamu mengimpikan percintaan yang penuh dengan keindahan semata.

Hijau
Salah satu kelebihan yang kamu miliki ialah cukup pandai menyesuaikan diri dengan orang yang baru di kenali. Mungkin kerana sikap kamu yang tidak begitu pemalu namun dalam tidak sedar kamu boleh membuatkan orang lain kecil hati dengan kata kata kamu saja! Kamu juga ingin diri kamu disayangi dan diberi perhatian penuh oleh kekasih hati. Namun selalunya mereka ini lebih rela maintain single hingga berjumpa dengan jejaka/gadis yang benar benar sesuai untuk dirinya!

Emas
Kamu seorang yang tahu apa yang kamu lakukan, yang mana betul dan silapnya. Kamu juga seorang yang mudah bergaul dengan sesiapa saja dan ceria serta tak suka bersedih biarpun pelbagai masalah yang menimpa. Dalam soal percintaan, kamu sukar berjumpa dengan orang benar-benar kamu sukai tapi sekali kamu menemuinya pasti tidak akan kamu lepaskan begitu saja. Bila sekali gagal, sukar untuk kamu jatuh cinta lagi untuk kali yang seterusnya dalam tempoh yang lama.

Kuning
Kamu seorang yang manis, tenang dan sopan.. Sebab itulah kamu dipercayai oleh orang-orang yang ada di sekeliling kamu. Selain itu, kamu juga lebih suka menguasai dalam sesebuah perhubungan termasuklah soal cinta.Kembang semangkuk hidung bila tiap kehendak kamu dituruti oleh si dia! Kamu juga mampu membuat keputusan yang tepat kerana fikiran kamu yang jauh ke depan. Tapi, jangan tak tahu. Kamu ni jiwang karat juga orangnya. Sentiasa saja berminta hal-hal yang romantik bersama si dia. Alahai!

Maroon
Bagi kamu yang mewakili warna maroon ini, kamu digambarkan seorang yang bijak dan tahu apa yang terbaik untuk diri kamu. Namun kamu juga suka melakukan sesuatu itu menurut kehendak dan pendapat kamu sendiri tanpa pedulikan perasaan atau pendapat orang lain. Itulah yang menjadi masalahnya! Dari segi percintaan, kamu cukup sabar dan tidak terburu-buru untuk menjalinkan percintaan. Kamu juga terkenal dengan sikap setia kamu dalam perhubungan!

Oren
Syabas! Kamu ini jenis orang yang berani menanggung segala risiko atas tiap perbuatan yang kamu lakukan. Baguslah macam tu. Kata orang, berani buat beranilah tanggung. Kamu juga bijak mengambil hati orang-orang di sekeliling kamu dan ini membuatkan diri kamu disenangi ramai. Kamu punya matlamat tersendiri dalam hidup yang menjadi target kamu selama ini dan sanggup bersaing untuk berjaya. Menyentuh soal perhubungan, kamu sebenarnya seorang yang sukar untuk mempercayai orang lain tapi bila kepercayaan itu wujud, selamanya kamu akan percayakan dia! Begitu juga dalam perhubungan cinta. Bagi kamu, saling percaya itu amat penting!

Ungu
Amboi! Kamu ini gadis/jejaka misteri rupanya Tak ramai orang yang dapat mendekati diri kamu kecuali orang yang benar-benar kamu percayai. Walaupun begitu, kamu tak pernah pentingkan diri sendiri dan agak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang baru bagi kamu. Mood memainkan peranan penting mempengaruhi kehidupan kamu seharian. Jika kamu rasa gembira, sudah tentunya hari itu menjadi hari yang paling ceria bagi diri kamu dan begitu juga sebaliknya. Dalam menjalinkan percintaan, kamu lebih cenderung untuk memilih mereka yang punyai kedudukan dan agak stabil kewangan mereka.

Warna buah limau (Lime)
Sifat kamu yang tenang saja sepanjang masa amat dikagumi ramai. Tapi jangan tak tahu, kamu juga mudah rasa tertekan bila dilanda masalah. Selain itu, kamu boleh dikatakan agak cerewet juga kerana perkara-perkara kecil pun kamu amat prihatin! Pun begitu, kamu punya personaliti tersendiri yang membuatkan orang ramai menyukai diri kamu. Amboi! Kamu ini rupanya seorang kekasih yang kuat cemburu yek?

Perak
Ternyata kamu ini seorang yang berimaginasi tinggi dan tak hairanlah kamu turut berbakat dalam bidang yang berkaitan dengan seni.Walau bagaimanapun kamu sebenarnya punya sifat pemalu yang agak menebal juga! Namun sikap kamu yang suka mencuba sesuatu yang baru mampu menstabilkan keadaan…bukan apa, kamu suka mencabar diri kamu sendiri untuk melihat sejauhmana kebolehan diri. Dari segi perhubungan cinta, kamu lebih suka bersikap ‘hard to get’ untuk menduga keikhlasan hati si dia. Namun hubungan cinta kamu seringkali dilanda kekeliruan dan tak begitu stabil. Tapi usah bimbang, kamu akan menemui cinta sejati juga suatu hari nanti.

Hitam
Kamu gemar kehidupan yang mencabar dan punya keberanian untuk melakukan apa saja. Sebab itulah, usah ada sesiapa yang cuba mencabar kamu kerana kamu ni kan pantang dicabar. Tapi kamu tak begitu gemarkan perubahan mendadak dalam hidup kamu. Namun sekali kamu membuat keputusan, ia sukar untuk diubah oleh orang lain. Kisah cinta kamu juga begitu mencabar dan perlukan banyak kesabaran jika inginkan perhubungan itu berkekalan. Belajarlah untuk bertolak ansur sikit!

Warna buah Zaiton (Olive)
Bagi kamu yang mewakili warna ini dikatakan seorang yang baik hati dan suka menolong orang lain. Sebab itu juga kamu tak sukakan keganasan.Kamu juga bijak menyesuaikan diri dengan teman-teman hingga membuatkan kamu menjadi ‘favourite’ di kalangan mereka. Sememangnya kamu seorang yang baik hati dan sentiasa ceria. Namun ingat, jangan terlalu percayakan orang lain membabi buta. Dalam soal cinta, kamu cukup menenangkan hati si dia dan tak suka cari pasal!

Perang
Kamu seorang yang cukup aktif dan tak suka duduk diam saja. Pelbagai aktiviti yang dilakukan bagi memenuhi masa lapang. Sebagai seorang teman, kamu sentiasa menyokong tindakan positif teman-teman yang lain. Pun begitu, kamu sukar untuk didekati dan agak sombong jika tak boleh sesuaikan diri dengan seseorang. Dalam soal cinta, kamu mudah jatuh cinta. Tapi bila kamu sedar cinta kamu itu tidak berbalas, kamu cepat putus asa dan mengalah dengan mudah. Macam tu pulak? Seharusnya kamu perlu kikis sikap itu dan cuba berusaha untuk mengambil hati si dia.Mungkin ‘rezeki’ kamu untuk memilikinya nanti?

Kelabu
Kebanyakan mereka yang diwakili oleh warna Kelabu ini sangat menarik orangnya dan aktif. Kamu juga ingin diri kamu dikenali orang ramai dan menjadi kepantangan kamu pula sekiranya tidak dilayan dengan adil oleh sesiapa saja! Kamu juga seorang yang tidak gemar menyimpan apa juga perasaan di dalam hati dan lebih suka meluahkannya. Sesekali kamu boleh bersikap pentingkan diri sendiri. Namun kamu amat pandai menawan hati orang lain apatah lagi dengan sikap humor yang kamu miliki itu.

Biru
Ternyata kamu seorang yang punya keyakinan diri yang rendah dan terlalu pemilih sangat. Tak bolehlah macam tu.. Itu adalah sikap negatif yang harus kamu ubah kerana mendatangkan kerugian pada diri kamu sendiri. Selain itu, kamu juga cederung ke arah kesenian dan sememangnya kamu berbakat dalam bidang itu hingga mampu menjadikan kerjaya berkaitan dengan seni sebagai kerjaya tetap. Soal cinta pula, kamu mudah sangat jatuh cinta tapi seringkali juga putus cinta. Mana taknya, orang lain bercinta kamu pun hendak bercinta. Tapi kamu bukan benar-benarmenyintai si dia setulus hati. Silap sendiri lah kan? Kalau kamu mahukan hubungan itu berpanjangan, kamu harus bersikap lebih serius dan ikhlas.

Biru Laut
Kamu mencintai diri dan kehidupan kamu sendiri melebihi segala-galanya.Bagi kamu, jika kamu tak sayangkan diri sendiri kamu siapa lagi? Kamu juga seorang yang berpersonaliti menarik hingga sering menjadi perhatian ramai. Selain itu, kamu juga berpandangan jauh untuk masa depan. Tapi berhati hati dengan sikap pemarah kamu tu. Sekali kamu marah pada seseorang, sukar kamu nak melupakannya. Jadi, belajarlah memaafkan orang lain. Sebab itu juga kamu sering bertengkar dengan si dia. Mana taknya, kamu ego sangat nak maafkan orang lain sedangkan kamu sendiripun ada melakukan kesilapan!
Putih
Kamu punya matlamat yang jelas dalam hidup dan berusaha keras untuk mendapatkannya. Orang lain juga sering memberikan penghargaan tinggi terhadap kamu memandangkan kamu agak berkebolehan dalam pelajaran/kerjaya. Walau bagaimanapun, kamu ini kuat cemburu orangnya dan kadangkala sukar nak bekerjasama dengan orang lain. Perhubungan cinta kamu juga sering tegang dek kerana sikap cemburu kamu terhadap si dia. Cemburu itu memang tanda sayang tapi kalau dah melampau tu, cemburu buta namanya!

Biru Kehijauan (Aqua)
Mak oi! Angin satu badan kamu ini rupanya. Senang sangat mood kamu berubah secara tiba-tiba hingga kadangkala buat orang lain bosan. Mungkin sebab itu juga membuatkan kamu kadangkala lebih suka menyendiri melayan perasaan tapi kamu suka melancong untuk meluaskan pengalaman. Kamu juga seorang yang jujur dan mudah percaya kepada orang lain.Dari segi percintaan, kamu sukar menemui cinta sejati dan sikap terlalu mudah percaya pada orang lain membuatkan kamu sering tertipu serta gagal dalam bercinta…! Oleh itu, percaya boleh, tapi jangan membuta tuli, kelak memakan diri!

Sunday, October 4, 2009

KEPELBAGAIAN TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KOMPONEN SASTERA.


Pengajaran dan pembelajaran komponen sastera (komsas) selalunya tidak menyeronokkan dan biasanya membosankan murid. Mengapakah keadaan ini berlaku?. Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran komponen sastera. Satu daripada alasannya ialah guru tidak mendapat pendedahan tentang teknik pengajaran dan pembelajaran komsas. Selain itu, guru tidak berminat dengan sastera dan tidak memiliki kemahiran tentang sastera. Guru juga tidak berkeupayaan untuk menunjukkan contoh kepada murid tentang cara-cara karya sastera itu dipersembahkan. Bagi murid pula, mereka selalunya kurang berminat dengan KOMSAS kerana teknik penyampaian guru itu sendiri yang membosankan. Guru tidak menggunakan bahan bantu belajar untuk menarik minat murid dan guru biasanya mengggunakan teknik yang konvensional (cara lama) dan tidak berpusatkan murid. Oleh sebab itu, guru-guru haruslah menukar teknik pengajaran dan pembelajaran KOMSAS yang kurang menarik seperti yang diamalkan sebelum ini. Teknik yang dicadangkan ini juga berpusatkan murid dan menggalakkan mereka menggunakan bakat, kreativiti dan pengetahuan sedia ada murid dalam menjalankan aktiviti di dalam kelas (Mohd Khir Kassim, http://khirkassim.blogspot.com. Tarikh capaian: 19 Ogos 2009).
Teknik pengajaran dan pembelajaran komsas yang dimaksudkan adalah seperti teater pembaca, teater bercerita, persidangan meja bulat, monodrama, balang kaca, stesen, kerusi panas, peta minda, improvisasi dan adaptasi (http://nsrajendran.tripod.com/Papers/sasteraHOTskills.pdf . Tarikh capaian: 20 Ogos 2009).
Melalui teater pembaca dapat melibatkan beberapa orang murid yang membaca skrip sesebuah cerita di hadapan kelas. Teknik teater pembaca pula mengutamakan penggunaan suara, sebutan, gerak badan dan mimik muka sahaja. Membantu penonton (murid) memahami, menghayati dan merasakan cerita itu seolah-olah sedang berlaku di hadapan mereka. Murid lain boleh mencatat maklumat penting berdasarkan aktiviti yang dijalankan.Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, dan prosa klasik.
Teater Bercerita melibatkan seorang pencerita dan digabungkan dengan beberapa orang pelakon. Pencerita akan menyampaikan cerita, dan pelakon beraksi mengikut watak dalam cerita tersebut. Guru atau murid boleh menyediakan skrip terlebih dahulu. Murid lain boleh mencatat maklumat berdasarkan arahan guru.Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.
Persidangan meja bulat merupakan perbincangan yang dilakukan secara berkumpulan. Perbincangan berfokus pada isu yang ditetapkan oleh guru. Seorang murid menjadi ketua untuk mempengerusikan perbincangan dan seorang pencatat. Semua anggota kumpulan mesti memberi pendapat semasa perbincangan dijalankan. Wakil kumpulan akan membentang dapatan atau hasil perbincangan. Masa perbincangan 15 – 20 minit. Guru memantau dan membimbing kumpulan semasa perbincangan dijalankan. Teknik ini sesuai untuk semua genre sastera.
Monodrama ialah satu teknik lakonan yang dilakonkan oleh seorang pelakon (murid). Pelakon mesti menghayati watak yang dipilih. Pelakon berusaha untuk meluahkan rasa hati supaya dapat menjelaskan peranan dan tindakan watak dalam sesuatu karya. Berdasarkan lakonan itu, murid lain dapat menilai perwatakannya dan perwatakan individu lain. Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.
Balang kaca memerlukan seorang murid berlakon sebagai watak utama. Murid-murid lain berlakon sebagai watak-watak lain dan mengelilingi watak utama. Watak-watak lain memberi pandangan terhadap watak utama. Watak utama tidak bercakap tetapi boleh memberi respons melalui mimik muka, dan gerak tubuh. Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.
Kerusi Panas berkenaan seorang murid dikehendaki memainkan peranan sebagai satu-satu watak. Murid berkenaan duduk di kerusi di hadapan kelas. Murid-murid lain mengajukan pertanyaan berkaitan perwatakan watak berkenaan. Murid yang duduk di kerusi mesti menjawab soalan sebagai watak yang sedang dilakonkannya. Murid lain mencatat perwatakan watak-watak dalam Lembaran Pengurusan Grafik (LPG) yang disediakan. Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.
Seterusnya, Improvisasi iaitu aktiviti lakonan secara spontan yang mengisahkan kejadian, peristiwa atau situasi sebenar. Aktiviti ini dijalankan dalam kumpulan antara 2 hingga 5 orang murid. Mereka diberi masa 10 hingga 15 minit untuk berfikir dan menyusun dialog. Teknik ini sesuai untuk genre drama, cerpen, novel, dan prosa klasik.
Teknik peta minda mengkehendaki murid mencatatkan maklumat tentang sesuatu aspek dalam bentuk peta minda. Peta minda boleh disediakan oleh guru lebih awal atau murid sendiri membina peta minda itu. Teknik ini sesuai untuk semua genre sastera.
Adaptasi pula berkaitan murid mencipta karya dalam bentuk genre lain berdasarkan sesuatu genre. Misalnya, menulis pantun atau syair berdasarkan cerpen; menulis skrip drama berdasarkan sajak atau menulis sajak berdasarkan novel. Teknik ini dapat mempelbagaikan kemahiran dan meningkatkan kreativiti murid. Teknik ini sesuai untuk semua genre sastera. Guru-guru boleh mencuba teknik-teknik yang telah dikemukakan tadi semasa mengajarkan komsas di dalam kelas. Semoga teknik tersebut tidak membosankan murid malahan boleh menarik minat dan perhatian mereka untuk mempelajari komsas dan sastera secara amnya. Di samping itu, pakar-pakar kemahiran belajar mengatakan bahawa pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ialah pengajaran dan pembelajaran yang menarik. Pembelajaran yang menarik pula sudah tentu akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pengetahuan murid. Diharapkan juga agar minat murid-murid tersebut disuburkan oleh guru yang mengajarkan komsas dengan memberikan bimbingan bukan sahaja untuk mengkaji aspek sastera malahan berupaya untuk menghasilkan karya sastera seperti sajak, pantun, gurindam, cerpen dan novel (http://nsrajendran.tripod.com/Papers/sasteraHOTskills.pdf . Tarikh capaian: 20 Ogos 2009).





Thursday, September 17, 2009

Pantun Raya

Disisir diandam dengan cekap,
Potong rambut pelbagai gaya,
Puasa sebulan sudahlah lengkap,
Kita menyambut Hari Raya.